China Town
- Get link
- X
- Other Apps
Mendengar berita tentang Kampung Cina Kuala Terengganu yang telah berubah wajah, telah memberi dorongan yang agak kuat untuk aku ke situ. Aku bersama keluarga dan beberapa orang adik ipar yang semuanya tinggal di luar Terengganu kerana berkerja dan belajar telah ke sana untuk melihat sendiri perubahan kepada Kampung Cina.
Kampung Cina Kuala Terengganu ataupun turut dikenali sebagai Kuala Terengganu China Town oleh pelancong luar terletak di sepanjang Jalan Bandar (dahulunya dikenali sebagai Jalan Kampung Cina) di muara Sungai Terengganu, sungai yang mengalir ke Laut China Selatan.
Anda boleh menyewa bot-bot yang berlabuh di jeti Kampung Cina ini untuk melihat sekitar Bandaraya Kuala Terengganu melalui laut dan juga untuk ke pulau-pulau berhampiran.
Kampung Cina terletak bersebelahan dengan Pasar Kedai Payang yang terkenal dengan kain dan pakaian tempatan seperti songket batik dan sebagainya. Di pasar ini. Di pasar ini juga terdapat banyak kedai dan restoran untuk menikmati makanan tradisi negeri Terengganu seperti Nasi Dagang, Nasi Lemak berlaukkan Ikan Tongkol, Keropok Lekor, Keropok Keping dan sebagainya.
Memang Kampung Cina sudah banyak berubah. Jika dulu kampung bersejarah ini seperti terasing terutama bagi bangsa selain daripada bangsa Cina, kini tidak lagi. Jalan khas telah dibuat di antara belakang bangunan-bangunan antik dan muara Sungai Terengganu yang turut diindahkan dengan pembinaan Kuala Terengganu Waterfront (KTWF).
KTWF telah menjadi satu lagi tarikan pelancong ke Kuala Terengganu. Daripada kawasan pantai yang tidak terjaga pada suatu ketika dahulu, ianya telah ditambak dan ditambah nilai dengan hiasan lampu bercahaya seperti i-City Shah Alam.
Banyak aktiviti santai yang boleh dilakukan di sini. Selain daripada restoran-restoran untuk melepak, tempat ini juga menjadi tempat kesukaan peminat fotografi untuk mencerap gambar pemandangan yang cantik.
Lorong-lorong yang sungguh unik ini menjadikan Kampung Cina Kuala Terengganu yang terkenal dengan sejarahnya yang tersendiri dan bangunan-bangunan antiknya bertambah menarik. Ramai pelancong daripada dalam dan luar negeri Terengganu membuat lawatan sambil bergambar sebagai kenang-kenangan.
Syabas kepada pihak penguasa tempatan yang menzahirkan idea ini. Sekurang-kurangnya Kampung Cina tidak lagi terasing daripada dunia luar dan sekaligus menjadi salah satu daya tarikan pelancong ke Bandaraya Kuala Terengganu, bandaraya pesisir pantai.
Kepada sesiapa yang bertandang ke Kuala Terengganu saya cadangkan korang datang ke tempat menarik di Kuala Terengganu ini. Kampung Cina Kuala Terengganu kini sudah menjadi tempat yang mesti dilawati di Kuala Terengganu.
Selamat datang ke negeri Terengganu. Negeri cantik budaya menarik.
- Get link
- X
- Other Apps
Comments
Post a Comment